Sunday, 25 February 2018

Permakultur & Masyarakat Pribumi (Pahang)


Pendekatan yang diamalkan oleh orang asli dalam penjagaan hutan ini bertepatan dan selari dengan satu konsep pertanian yang semakin berkembang iaitu permaculture. Terma Permaculture terbentuk daripada dua perkataan iaitu permanent dan agriculture. Ia membawa definisi pertanian yang mapan. Namun dalam konteks yang lebih luas ,ia boleh diertikan sebagai satu budaya hidup holistik yang menitikberatkan keharmonian setiap elemen semulajadi dan kepelbagaian yang ada dalam sistem ekologi. Segala aktiviti kehidupan samada pertanian mahupun sosial dikembang dan diadaptasikan berdasarkan inspirasi, pemerhatian dan penelitian yang terperinci terhadap tindakbalas alam semulajadi dalam kehidupan manusia.

Permakultur pula bukan sahaja bergantung kepada pengalaman mempelajari daripada alam, ia turut mengabungjalinkan kefahaman ini dengan hasil kajian saintifik berkenaan dengan biologi alam yang membolehkan kita memahami secara komprehensif sifat-sifat elemen semulajadi yang ada di persekitaran secara lebih tepat. Misalnya sifat serangga, haiwan, biologi tumbuhan, struktur dan komposisi tanah, kontur rupa bumi, aliran hujan dan sungai, perubahan musim, habitat flora fauna akan banyak membantu kita memahami corak bagaimana alam berfungsi. Pengetahuan dan pemahaman yang mendalam ini akan mempengaruhi setiap keputusan serta tindakan kita dalam menguruskan alam dengan lebih baik dengan mencontohi sebagaimana alam melakukannya.

Setiap sistem kehidupan bergantung kepada bumi dan setiap elemen yang ada di alam ini saling bergantung antara satu sama lain. Memahami setiap satu daripadanya mempunyai dan memainkan fungsi yang penting dalam kehidupan yang lain, membuatkan kita menghormati dan memelihara habitat mereka. Kerosakan salah satu daripada elemen semulajadi ini akan menyebabkan ketidakseimbangan ekologi dan memberikan kesan berantai kepada hidupan lain yang bergantung kepadanya. Inilah prinsip pertama yang menjadi tunjang utama dalam permakultur iaitu, earth care1. Ini kerana, tanpa bumi yang sihat, perkembangan sumber kepada manusia dan sistem hidupan lain juga akan turut terjejas. Inilah yang dipraktikkan oleh masyarakat orang asli dalam persekitaran kehidupan mereka.

Dalam konsep permakultur, apa sahaja yang dilaksanakan akan diberi pertimbangan kepada alam sekeliling dan bagaimana sesuatu tindakan itu boleh memberikan mpak positif kepada sistem hidupan lain. Contohnya dengan tidak membakar daun rumput kering serta sisa dapur, kita bukan sahaja membantu mengekalkan kebersihan udara dari pencemaran karbon dan kawalan suhu setempat, malah ia boleh ditukarkan menjadi bahan kompos untuk dikembalikan semula kepada tanah sebagai baja organik yang kaya dengan nutrien. Tanah yang subur dengan komposisi nutrien yang seimbang akan menghasilkan buah sayuran yang berkualiti tanpa perlu bergantung lagi kepada baja kimia. Ini bukan sahaja menjamin kesihatan tubuh badan manusia (people care), malah membantu mengurangkan pengeluaran karbon dalam sepanjang proses penghasilan baja kimia. Ia adalah proses yang mudah dan ringkas namun memberikan impak yang sangat positif kepada kehidupan secara mikro dan makro.

Permakultur adalah istilah yang baru diperkenalkan oleh dua warga Australia, Bill Mollison dan David Holmgren pada tahun 1978 dengan penyusunan ilmu agrikultur secara lebih sistematik. Di Jepun, diatas kesedaran terhadap isu yang timbul dalam pertanian moden, Masanobu Fukuoka turut memperkenalkan konsep shizen nōhō atau selalu ditafsirkan sebagai “Natural Farming”2. Namun dalam hal ini, walau apapun istilah yang diberikan di dunia moden, masyarakat orang asli terlebih dahulu mengamalkan konsep ini dalam kehidupan mereka, malah ia telah menjadi prinsip yang dipegang dan diwariskan. Mereka tidak memanggilnya dengan istilah permaculture dan mungkin tidak pernah mendengar perkataan tersebut, tetapi masyarakat mereka terlebih kehadapan dalam memahami corak alam dan menggunakannya untuk mewujudkan sistem ekonomi, penempatan komuniti, penanaman secara polikultur, rumah yang efektif dan mesra alam3.

Orang asli telah membina kearifan berdasarkan warisan ilmu, penelitian, pengamatan dan pengalaman bekerja dengan alam. Ini telah menjadi warisan masyarakat pribumi bukan sahaja di Pahang malah di seluruh dunia. Mereka begitu bertoleransi terhadap persekitaran mereka. Setiap tindakan yang dibuat akan dipastikan memberikan impak yang minima kepada ekologi di persekitaran mereka kerana mereka begitu arif dengan kesan yang akan berlaku. Hasil sikap menghormati terhadap alam ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti manusia, bahkan turut dikongsi dan dimanfaatkan oleh hidupan yang lain.


Catatan : Abdul Azim


1 Mollison, Bill(1988), Permaculture : A Designer’s Manual


2Korn, Larry. “ Masanobo Fukuokas’s Nataral Farming & Permaculture”. Permaculture.com. http://www.permaculture.com/node/140


3Harland, Maddy. “ Permaculture & Indigineous Culture”. Permaculture.com.uk. https://www.permaculture.co.uk/articles/permaculture-indigenous-cultures

Herbal Healing: The Alternative to Modern Medicine's Downfall

Discover the Benefits of Incorporating Herbs into Your Daily Routine to Achieve Optimal Health In today's world, people are dying young ...